CIMA

Wednesday, 20 June 2012

NABI YANG SELALU TIADA MAKAN


Kita pernah membaca cerita Nabi Muhammad s.a.w. yang dikisahkan selalu mengalami lapar, perut kosong kerana tidak makan, hingga ada waktunya terpaksa perutnya diikat dengan batu. Sukar hendak kita bayangkan bagaimana perut kosong yang perlu dibantu supaya tidak terasa terlalu pedih kelaparan, dengan mengikatkan ketul-ketul batu pada perut itu.
Dalam buku Muhammad s.a.w. Insan Teladan Sepanjang Zaman hasil karya Tok Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat (2008), antara lain digambarkan sewaktu membuat persiapan Perang Ahzab, Rasulullah s.a.w. turut bersama-sama dengan para sahabat, memerah keringat menggali parit untuk benteng pertahanan.
Baginda turut memunggah tanah dan batu-batu yang berat, menyebabkan seluruh fizikal merasai sakit, terasa pedih hingga ke pangkal hati. Untuk mengurangkan kepedihan akibat rasa lapar, Rasulullah s.a.w. mengambil beberapa ketul batu, kemudian dibalut dengan kain dan mengikat ketat pada perutnya. Baginda berbuat begitu selain untuk mengurangkan rasa lapar, juga untuk mengelakkan daripada kecederaan akibat bekerja berat dalam keadaan perut kosong.
Dalam buku Meraih Keampunan Allah karangan Jamilah al-Mashri (2004), terdapat pula cerita yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Tabrani, bahawa pada suatu hari, Fatimah memberikan sekeping roti kepada ayahnya Muhammad s.a.w. Nabi mengambil dan berkata : “Ini adalah makanan pertama yang dimakan oleh ayahmu sejak tiga hari yang lalu.”
Bayangkan! Rasulullah tiga hari tak makan! Ada pula riwayat bahawa Abu Hurairah berkata, “Aku menemui Nabi s.a.w. ketika baginda sedang solat sambil duduk, lalu aku bertanya : ‘Wahai Rasulullah, aku melihatmu solat dalam keadaan duduk. Apa yang menimpamu?’ Baginda menjawab : ‘Lapar, wahai Abu Hurairah’.”
Dan ada beberapa peristiwa lagi sirah Rasulullah, yang menyebabkan kita berfikir – alangkah berbezanya dan jauhnya perbezaan antara corak hidup kita hari ini dengan corak hidup Rasulullah dan para sahabat di zaman itu.
Tentulah ini bukan cerita tentang kedhoifan. Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai segala peluang untuk menjadi orang terkaya di zaman itu, sekiranya baginda memilih untuk menjadi kaya. Baginda sendiri sejak muda telah terkenal dengan bakat berniaganya, hingga tokoh korporat zaman itu, Siti Khadijah, mengamanahkan perniagaan kepada baginda s.a.w.
Para sahabat seperti Othman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf adalah orang-orang kaya yang banyak harta dan sentiasa mahu menyumbang. Kemudian, hasil rampasan perang pun, boleh memberikan kekayaan kepada Nabi s.a.w. sekiranya baginda mahu mengambil bahagiannya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, daripada Umar Al-Khattab, katanya : Pada suatu hari, saya masuk menemui Rasulullah s.a.w. di rumahnya, baginda sedang berbaring di atas pasir. Baginda tidak menggunakan sebarang alas untuk mengalaskan antara tubuhnya dengan pasir. Kesan-kesan pasir jelas kelihatan di bahagian rusuknya.

Begitulah Rasulullah s.a.w. Bukan baginda tidak mampu. Kalau baginda mahu, bukan baginda tidak mampu untuk mengadakan lantai yang beralas atau membina rumah yang besar dan mewah sekalipun. Baginda mampu mengadakan semua itu, kalaulah itu yang baginda pilih. Tetapi, baginda tidak memilih yang itu.

No comments:

Post a Comment